BESUT - Seorang lelaki ditahan polis selepas gagal melarikan sebuah lori treler yang dipercayai dicuri di Jengka, Pahang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bagaimanapun polis terpaksa mengejar lori yang dipandu suspek sejauh kira-kira 30km sebelum lelaki berusia 40 tahun itu berjaya diberkas.
Menurutnya, sebelum itu polis berjaya mengesan sebuah lori yang dipercayai dicuri di Jengka, Pahang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu di Kampung Apal di sini, kira-kira jam 9.50 pagi ini.
“Polis telah mengarahkan pemandu memberhentikan treler tersebut namun suspek nekad melarikan diri dengan memandu lori tersebut menghala ke Jertih.
“Suspek turut bertindak agresif apabila cuba menghimpit kereta peronda polis yang mengejarnya selain memandu dalam membahayakan pengguna jalan raya lain apabila dua kali mengelilingi bandar Jertih,” katanya.
Mohd Zamri berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan pada bahagian tayar lori tersebut namun suspek tetap memandu kenderaan ke arah Pasir Aka, Hulu Besut walaupun dalam keadaan tayar pecah.
Menurutnya, suspek kemudian menghala ke arah Kampung Oh suspek lori itu dan terbabas dan pemandu berjaya diberkas.
“Bagaimanapun rakan suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan usaha mengesan suspek dengan giat dilakukan,” katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, lori tersebut dilaporkan hilang di Jengka jam 5.30 pagi tadi dan suspek dipercayai membawa lori tersebut ke Kelantan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Johor ini mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan dia akan ditahan untuk siasatan. - Sinar Harian