Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputusan jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.
Ia susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.
"Semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.
"Apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.
"Pergerakan Paralimpik sentiasa akan diteruskan, didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan, bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terbabit dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan sama dalam situasinya sama walaupun negara berbeza," memetik kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Atlet IPC, Chelsey Gotell berkata pihaknya menerima banyak maklum balas daripada atlet di seluruh dunia berkenaan situasi berkenaan.
Ujarnya, pihak IPC telah mengadakan perbincangan berkenaan maklum balas yang dikumpul dan memaklumkannya kepada Kumpulan Penasihat Atlet Renang Para Dunia bagi mendapatkan respon mereka.
"Kami turut berhubung dengan Kumpulan Penasihat Atlet Renang Para Dunia untuk mengumpul maklum balas mereka mengenai situasi ini bagi memastikan suara atlet dapat dilihat dalam perbincangan dan keputusan Lembaga IPC," katanya.
Pada September 2017 apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia, kami mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.
Baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai 'anti-Semitisme melampau'. - Astro AWANI