Inainya Masih Merah Di Jari, Suami Tiada Lagi


TUMPAT - Reda dengan ketentuan takdir apabila suaminya yang baru dinikahi dijemput Illahi ketika usia perkahwinannya baru empat hari.

Inainya masih merah di jari, Nor Shahirah Mohd Fuad, 24, melepaskan pemergian suaminya, Fikri Ghazali, 32, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Shah Alam dengan linangan air mata.

Nor Shahirah berkata, kesedihannya hanya ALLAH SWT yang tahu, namun dia perlu kuatkan semangat meneruskan kehidupan ini.

"Saya kena kuat, kalau saya sedih, seksa arwah dalam kubur.

"Apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi, saya reda, Insya-ALLAH setiap hujung minggu saya akan datang ke Kelantan untuk menziarahi pusaranya," katanya yang menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Pak Jah, hari ini.

Kemalangan Isnin lalu telah meragut nyawa suaminya, Fikri yang dalam perjalanan ke tempat kerja sebagai mekanik.

Nor Shahirah, seorang guru tadika swasta hanya mengetahui kemalangan itu selepas pihak Hospital Shah Alam memaklumkan keadaan suaminya.

Fikri meninggal dunia di hospital tersebut dan jenazah dibawa pulang ke Tumpat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Datuk, semalam. - Sinar Harian