PEKAN - Kehilangan Siti Masitah akhirnya terjawab apabila mayat seorang kanak-kanak ditemui oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan setelah hilang sejak 30 Januari lalu.
Mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Kemahang.
Lebih mengecewakan dilakukan oleh individu yang dikenali oleh keluarga mangsa sebagai adik sendiri oleh ibu kepada Siti Masitah.
Tindakan kejam turut menjadi tanda tanya keluarga terdekat dan penduduk kampung kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mudah rapat dengan orang melainkan keluarga sendiri.
Namun menurut penduduk kampung yang dikenali sebagai Ahmad, 40, Siti Masitah dipercayai telah ditipu dengan diperdaya menggunakan nama ibunya membuatkan kanak-kanak itu mengikut lelaki tersebut.
"Siti Masitah merupakan seorang anak yang baik serta sangat rajin mengaji dan sangat rapat dengan ibunya. Dia tidak akan sebarangan mengikut orang melainkan ibu atau ayahnya.
"Saya yakin Siti Masitah telah diperdaya suspek bahawa ibunya menunggunya di pondok bas di jalan besar memandangkan ada penduduk yang nampak Siti Masitah di pondok bas bersama Assum pada waktu petang hari kejadian sebelum dia hilang.
"Sebab Siti Masitah ini kalau diberitahu ibunya ada di sesuatu tempat..dia akan terus percaya dan pergi ke tempat di mana ibunya dikatakan berada,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Kemahang di sini, semalam.
Ahmad berkata, perkara ini bukan sahaja diyakini oleh dirinya malah sudah menjadi bual mulut orang kampung kerana Assum merupakan individu yang sangat rapat dan dianggap seperti adik sendiri oleh keluarga kanak-kanak tersebut Menurutnya, dia turut berharap agar pihak polis dapat memberi hukuman yang seadilnya terhadap suspek.
Keluarga belum boleh tuntut jenazah
SEMENTARA itu, ahli keluarga belum dibenarkan menuntut jenazah Siti Masitah Ibrahim kerana pihak polis masih menunggu hasil makmal termasuk keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mayat kanak-kanak yang berketurunan Melayu Champa masih diperlukan untuk pemeriksaan pakar perubatan dan forensik.
Di samping itu, bagi membantu proses pemadanan DNA dengan anak mereka itu, sampel darah ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, dan bapanya, Ibrahim Ali, 39, telah diambil di Hospital Pekan semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, sampel itu diperlukan untuk dianalisis bagi pengesahan identiti secara konklusif dengan membandingkan DNA mangsa dengan ahli keluarganya.
"Kita perlu menunggu hasil keputusan makmal lain bagi membantu siasatan dan setakat ini ibu mangsa telah mengecam mayat berdasarkan baju dipakainya tetapi kita memerlukan pengesahan secara konklusif .
"Tempoh ini dijangka mengambil masa selama dua minggu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang 30 Januari lalu.
Mayat telah ditemukan Sabtu lalu oleh penduduk yang memburu ayam hutan. - GPSBestari