Video: Kecoh Penyokong PH Serang Ceramah MCA


Presiden MCA Wee Ka Siong mengecam penyokong Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya cuba "menyerang" penceramah MCA dalam program di sekitar medan selera di Semenyih.

"Amboi... Mentang-mentanglah sudah berkuasa, sudah mahu tunjuk samseng?" katanya Wee melalui kenyataan di Facebook yang turut disertakan dengan klip video kejadian berkenaan.

Klip video itu memaparkan beberapa individu memakan baju kempen PH dihalang dari menghampiri pentas program MCA oleh pagawai polis.

Pentas MCA berkenaan terletak berhampiran pentas program PH.

Beberapa individu yang ditahan turut dilihat menjerit ke arah penceramah yang dipercayai Setiausaha Organisasi Pemuda MCA Tee Sen Sein.

Dipercayai, kekecohan timbul selepas Tee berulang kali melaungkan "iktiraf UEC" ketika Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berucap di pentas PH.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk mengiktiraf Sijil Ujian Bersepadu (UEC) untuk kelayakan masuk universiti. Kerajaan setakat ini mendakwa pengiktirafan itu masih dalam proses.

Sementara itu, Wee dalam kenyataannya menyindir penyokong PH yang menurutnya sebelum ini memperjuangkan kebebasan bersuara.

"Sebelum dapat kuasa, bukan main lagi perjuangkan kebebasan bersuara kononnya.

"Bila kena cabar sikit sudah panas telinga. Bukan cabar bergaduh pun! Bukan lempar fitnah pun! Hanya cabar beri penjelasan mengenai janji manifesto PH saja.

"Salah ke rakyat tuntut janji?" katanya.

Wee turut berterima kasih kepada polis yang mengawal keadaan. - Malaysiakini