Nenek, Menantu Dan Cucu Didakwa Mencuri Di Pasaraya 99



BATU GAJAH - Empat sekeluarga termasuk nenek, menantu wanita dan dua cucu lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini, atas dua pertuduhan mencuri dan memiliki barang curi, Jumaat lalu. 

P Neela, 60; S Indra, 39; Durai Raj, 20 dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh secara bersama mencuri pelbagai barang bernilai RM900 di Pasaraya 99 Speedmart Taman Pusing Hijau, Pusing, Batu Gajah antara jam 5 dan 6.30 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda, atau penjara dan sebat bagi kesalahan kedua.

Nenek bersama menantu wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah atas dua pertuduhan mencuri dan memiliki barang curi, hari ini,

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa gagal memberi penjelasan terhadap pelbagai jenis pakaian bertanda harga TF Value Mart yang tidak diketahui pemiliknya yang disyaki dicuri ketika pemeriksaan dilakukan di Stesen Minyak Petron Pusing, Jalan Pusing - Lahat pada jam 6.30 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan terhadap kesemua tertuduh yang diwakili peguam, S Sundarajan.

Bagaimanapun, Mohd Fitri membenarkan remaja terbabit diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin manakala RM7,000 bagi setiap tiga tertuduh yang lain dengan seorang penjamin dan turut menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula kes. - Sinar Harian