SEPANG - Sebelas maut apabila bas dinaiki terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, lapan warga asing dan pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa warga asing meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.
Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke tempat kerja penumpang terbabit sebelum ia hilang kawalan dan terhumban dalam longkang itu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, bas itu membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MAS Kargo.
“Kesemua pekerja terbabit sepatutnya masuk bekerja pada shif 12 tengah malam.
“Penumpang yang cedera dihantar ke hospital di Serdang, Putrajaya, Banting dan Kajang untuk rawatan," katanya.
Zulkifli berkata, punca kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengesahkan situasi terkini di hospital-hospital yang menempatkan mangsa nahas bas kilang di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berada dalam keadaan terkawal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak hospital dan petugas Kesihatan akan terus komited dalam meneruskan rawatan kepada mangsa yang terlibat di hospital terbabit.
"Bagaimanapun penyiasatan punca dan mekanisme kemalangan adalah di bawah bidang kuasa agensi yang berkaitan.
Takziah diucapkan kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Dalam insiden berkenaan, mangsa-mangsa kemalangan telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang.
Jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 44 orang di mana terdapat 11 kematian (9 kematian di tempat kejadian dan 2 kematian di hospital), 11 mangsa dalam keadaan kritikal, 14 mangsa separa kritikal dan 8 kes tidak kritikal. - Sinar Harian