Gambar tular dimedia sosial apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa membawa masuk orang bukan islam kedalam masjid mendapat kecaman netizen
Namun, dari sudut lain, Para ulama berbeza pendapat tentang orang kafir masuk ke masjid.
Hal ini kerana mereka berbeza tafsiran pada ayat al Quran;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Kerana itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 H).” (At-Taubah: 28)
1. Imam al-Syafie (wafat 204 H) berpendapat orang kafir boleh masuk masjid kecuali masjid al haram. Hal yang sama dipegang oleh fuqaha mazhab Hanafi yang berpendapat keharaman masuk masjid bagi orang kafir cuma berlaku pada masjid al haram di Mekah.
2. Imam Ahmad (wafat 241H) melarang orang kafir masuk ke dalam masjid walaupun bukan masjid al haram kecuali ada maslahat atau kerana mahu memperbaiki bangunan dan sebagainya. Hal yang sama dipegang oleh fuqaha Madinah yang bermazhab Maliki yang melarang orang kafir memasuki masjid.
Qadhi Abu Ya'la (wafat 458 H) yang bermazhab Hambali dan beberapa orang fuqaha yang lain seperti Imam Al-Nawawi (wafat 676 H) berpendapat bahawa orang yang kafir boleh masuk ke dalam masjid kecuali masjid al haram dengan syarat mendapat keizinan kaum muslimin.
Ringkasannya, orang kafir boleh masuk ke dalam masjid selain masjid al haram dan sewajarnya dibenarkan bagi mengembangkan dakwah Islam dan supaya orang kafir boleh mendapat manfaat kelas-kelas pengajian di masjid.
Bahkan dalam hadis-hadis yang sahih nabi salallahualaihiwassalam pernah membenarkan orang-orang kafir daripada Taif untuk bermalam di Masjid Nabawi, begitu juga kisah orang-orang Kristian daripada Najran yang memgunjungi Nabi salallahualaihiwassalam di dalam masjid Nabawi pada tahun ke 10 Hijrah dan bermalam di dalamnya.
Semoga kita berlapang dada dan tidak terlalu menyempitkan kefahaman Islam sehingga membawa fitnah kepada agama.
Nukilan Asal Ustaz Emran Ahmad