Terima Hidayah Selepas Dengar Azan.


KUANTAN - Hanya melalui azan! Itu menjadi titik mula buat seorang warga emas berbangsa Cina menerima hidayah daripada ALLAH SWT, seterusnya membawa kepada pengislamannya.

Riduan Chang Abdullah, 60, berkata, azan didengarinya setiap hari memberi sinar baharu yang membawanya keluar daripada kehidupan gelapnya sebelum ini.

Menurutnya, dia nekad untuk memulakan kehidupan baharu dengan mendalami Islam sebaik sahaja kedua orang tuanya meninggal dunia.


"Setiap kali mendengar azan berkumandang jiwa saya akan tersentuh, sehingga membuatkan saya kerap menghampiri masjid.

“Bila dengar azan hati saya jadi tenang. Saya dengar azan dan saya tahu azan ini untuk panggil orang-orang Islam solat.

“Kini saya bersyukur kerana dapat mengucap dua kalimah syahadah dan boleh belajar agama serta mengamalkan Islam dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengislaman dan Meraikan Saudara Baru di Yayasan Pahang.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Riduan berkata, dia juga gembira kerana selepas ini boleh memasuki masjid dan dapat melihat muazin melaungkan azan selain turut berpeluang membaca serta belajar mengenai azan.

Sementara itu, mualaf orang asli, Nur Qaireen Nadeera Huikahfatt, 22, berkata, dia tertarik dengan Islam sejak di sekolah rendah lagi kerana dikelilingi rakan Muslim.

Ujarnya, dia juga turut memakai tudung sejak berusia 18 tahun tanpa pengetahuan keluarga kerana ingin mendalami Islam dengan lebih dekat lagi.

“Masa di sekolah rendah saya sering ikut rakan baca doa terutamanya ketika makan dan ini menimbulkan minat untuk saya mendalami agama ini.

"Sebenarnya sebelum ini saya tidak ada agama, tapi selepas membuat kajian mendalam tentang agama Islam menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Suri rumah itu berkata, sebaik melafazkan dua kalimah syahadah dia bertekad untuk menjadi Muslim sejati.

Jelasnya, dia juga kini sedang mendalami serta mempelajari mengenai Islam dengan seorang ustazah di Muadzam Shah.

"Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada keluarga dan mereka menerima dengan hati terbuka walaupun pada mulanya ibu agak sedih. Namun dia faham dengan pilihan saya," katanya yang berasal dari Kampung Mikang, Bukit Ibam di Muadzam Shah.

Katanya lagi, sebelum ini namanya adalah Hui Ying Zhen, namun ditukarkan kepada Nur Qaireen Nadeera selepas dipilih oleh rakan-rakannya.

Seorang lagi mualaf, Muhammad Haikil Gobilan Ravicandran, 22, berkata, cara kehidupan yang diamalkan orang Islam penyebab dia memilih agama ini.

“Saya bergaul dengan ramai kawan-kawan Melayu Islam dan saya suka cara kehidupan mereka.

“Keluarga saya menyokong keinginan saya untuk menjadi seorang Islam,” katanya. - Sinar Harian