KUALA TERENGGANU - Seorang bapa yang tergamak merogol anaknya sendiri akhirnya mendapat pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh yang berusia 41 tahun itu mengaku salah terhadap kesemua empat pertuduhan, iaitu dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK) kerana sumbang mahram, Seksyen 377B KK kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menghasilkan video pornografi.
Terdahulu dalam penghakimannya, Nooriah berkata, keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan awam yang perlu diutamakan kerana perbuatan tertuduh amat keji dan terkutuk dalam agama.
“Sebagai bapa, tertuduh sepatutnya memberikan contoh yang baik, tetapi sebaliknya mengambil kesempatan di atas ketidakupayaan anak (OKU masalah pembelajaran).
“Perbuatan yang dilakukan akan meninggalkan trauma yang berpanjangan kepada anak, sepatutnya sebelum melakukan perbuatan itu, kamu berfikir sedalam-dalamnya. Hukuman yang diberikan ini diharap akan menjadi pengajaran agar kesalahan serupa tidak diulangi,” katanya.
Tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah dan beranda rumah di Marang, masing-masing pada jam 11 pagi dan jam 5 pagi pada 20 dan 21 September lalu.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah masing-masing menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan.
Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu dan bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan.
Mahkamah turut mengarahkan agar hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan secara berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 September lalu manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh ditangkap.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan dia diletakkan di bawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian