SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu oleh Mahkamah Singapura hari ini selepas mengaku bersalah merakam video seorang wanita yang sedang mandi.
Edmund Chong yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah berhubung dakwaan itu selepas dia ditangkap mengambil video seorang penyewa berusia 40 tahun yang tinggal di rumah neneknya.
Tindakannya itu disedari oleh mangsa apabila merasakan sesuatu yang tidak kena semasa sedang mandi dan melihat sekelilingnya sebelum ternampak telefon bimbit berwarna hitam sedang 'menunjuk' ke arahnya dari atas pintu tandas.
Dengan pantas mangsa yang juga rakyat Malaysia itu mengarahkan pancuran air ke telefon itu.
Wanita tersebut kemudian membuat laporan polis.
Selain ditahan, telefon, komputer riba dan pengecas komputer riba milik Chong turut dirampas.
Bagaimanapun Chong ketika dibicarakan membuat rayuan agar tidak dikenakan hukuman dengan alasan tidak mahu terlepas peluang melanjutkan pelajaran.
"Saya tahu saya melakukan sesuatu yang salah. Saya hanya ingin diberi peluang kerana saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dan saya tidak mahu melepaskan peluang itu," katanya.
Dalam pada itu, ketika kejadian Chong mengakui berasa tertekan tentang keadaan kewangannya selain menghadapi masalah dengan teman wanitanya namun pihak mahkamah kekalkan hukuman tersebut. - Agensi