Shah Rukh Khan Jackie Chan dan Jean-Claude Van Damme, Bertemu Di Arab Saudi


Tiga hero filem swafoto bersama di Riyadh, Aktor Shah Rukh Khan bertemu Jackie Chan dan Jean-Claude Van Damme.

Imej dikongsi bintang Bollywood, Shah Rukh Khan swafoto bersama dua legenda filem aksi iaitu Jackie Chan dan Jean-Claude Van Damme ketika berada di Arab Saudi kini tular di media sosial.

Shah Rukh memuat naik foto itu di akaun Instagram miliknya - yang mempunyai lebih 18 juta pengikut - ketika dia menghadiri Forum Joy, di Riyadh, Arab Saudi Ahad lalu.

“Khan, Damme, Chan di #JoyForum19. Kegembiraan menjadi milik saya apabila dapat bertemu dengan adiwira pujaan @jcvd @jackiechan @joyforumksa,” katanya pada keterangan imej.

Ketiga-tiga aktor dilihat tersenyum lebar.

Melalui semakan setakat pagi ini, imej berkenaan menerima lebih 2 juta tanda suka.

Jackie, 65, pelakon kelahiran Hong Kong - yang berjaya menembusi industri perfileman Hollywood - popular melalui filem-filem bercorak seni bela diri seperti Rush Hour dan Shanghai Noon.

Van Damme, 59, pelakon Belgium dan artis seni bela diri yang popular melalui filem seperti Double Impact, Cyborg dan Nowhere to Run.

Shah Rukh, 54, yang pernah tampil menerusi filem bercorak aksi seperti Darr, Baazigar dan Don pernah dikurnia gelaran kehormat dalam taekwondo bagi tali pinggang hitam oleh Korea Selatan pada 2009.

Pada forum sama, Shah Rukh turut bertemu seorang lagi aktor Hollywood, iaitu pelakon Game of Thrones dan Aquaman, Jason Momoa. - Malaysiakini