Semalam telah tular satu video yang memaparkan seorang peserta Top 20 Dewi Remaja 2019 tersungkur sebanyak tiga kali ketika sedang melalui pentas peragaan dan ianya mula menjadi bualan netizen.
Bagaimanapun Farzana Zainul yang merupakan model dan pelakon iklan menafikan punca dia terjatuh berkait dengan kasut yang dipakai olehnya ketika berada di pentas peragaan bagi memperkenalkan barisan peserta Dewi Remaja.
"Bukan masalah kasut. Kasut ini telah saya gunakan lebih setahun dan saya merasakan kasut yang saya pakai ini merupakan kasut paling selesa yang pernah saya ada.
Menurut Farzana semuanya adalah berpunca daripada karpet yang berada diatas pentas tersebut yang berlubang, malah menurutnya lagi juri tetap Dewi Remaja, Scha Alyahya juga hampir terjatuh ketika dia melalui pentas tersebut.
Farzana juga meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat memberikan persembahan cara 'catwalk' yang terbaik kerana insiden terjatuh sebanyak tiga kali.
Walaubagaimanapun bagi Farzana dia reda dengan semua itu kerana baginya semua itu telah tertulis buat dirinya dan walaupun terpaksa menahan kesakitan terjatuh berulang kali tetapi dia tetap bersikap profesional meneruskan sahaja perjalanan tersebut sambil tersenyum.
Malah dia amat berterima kasih kepada alumni Hero Remaja, Harris Annuar kerana membantunya untuk bangun ketika dia jatuh buat kali ketiga.
Bagi Farzana yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya ini, dia mahu kekal positif biarpun videonya terjatuh mula disebarkan orang ramai.
Farzana tahu bahawa aksinya itu telah mula tular di laman media sosial tetapi kalau boleh saya tidak mahulah ada kata-kata yang kurang enak ditujukan kepada saya, namun apa boleh saya buat kerana semuanya sudah pun terjadi.
Semuanya suratan takdir dan saya berharap ada hikmah di sebalik kejadian, Insya-Allah, buat masa ini saya cuma ingin kekal positif" katanya lagi.
Kalau boleh memang saya nak menjadi salah seorang finalis Top 12 tapi saya tidak terpilih, sudah pasti saya merasa sedih dan kecewa tapi saya tetap percaya dengan segala perancangan Allah yang tersurat buat saya.
Mungkin bukan rezeki saya tetapi saya akan tetap menyokong rakan-rakan saya yang terpilih kerana mereka sememangnya sangat berbakat dan buat masa ini saya akan cuba untuk mencari peluang bertapak dalam bidang seni untuk diri saya.
"Saya akan terus bergelar pelajar, meneruskan khidmat sebagai model dan pelakon iklan serta mencari peluang untuk menjadi pelakon drama atau pengacara," katanya optimis.
Pencarian pemenang untuk Dewi Remaja Edisi Ke-10 (2019/2020) bakal bermula tidak lama lagi!
Dewi Remaja 2019 bakal menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 26 Oktober ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!