BELURAN: Lelaki warga Filipina ditahan kerana dipercayai merogol anak rakan karibnya di rumah pekerja sebuah ladang di Telupid, di sini, 23 November lalu.
Suspek berusia 55 tahun yang juga pekerja ladang berkenaan dikatakan sering merogol mangsa berusia 13 tahun sejak Julai lalu.
Difahamkan, suspek sering melakukan perbuatan itu ketika ibu bapa mangsa keluar bekerja di ladang berkenaan awal pagi.
Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ahli keluarganya selepas tidak tahan diperlakukan sedemikian.
Suspek kemudian ditahan oleh bapa mangsa sendiri sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati suspek tinggal di blok yang sama dengan rumah mangsa.
Katanya, suspek dipercayai sudah melakukan kejadian itu beberapa kali sebelum mangsa mengadu kepada ibunya mengenai perbuatan suspek.
“Remaja itu bersama dengan keluarga tampil membuat laporan di Balai Polis Telupid pada jam 12.47 pagi, 23 November lalu.
“Hasil siasatan mendapati, suspek mengambil kesempatan atas hubungan baik keluarga mangsa.
“Suspek dan keluarga mangsa tinggal bersebelahan di rumah pekerja di ladang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. - Berita Harian Online