Kejam!!! Rogol Dan Bunuh, Doktor Haiwan Ditemui Dalam Keadaan Rentung



HYDERABAD : Mayat seorang doktor haiwan ditemui dalam keadaan rentung, selepas dirogol dan dibunuh sekumpulan lelaki yang menawarkan diri untuk membantunya menukar tayar motosikal.

Mangsa, Priyanka Reddy yang berusia dalam lingkungan 20an, sedang dalam perjalanan pulang apabila dibunuh berhampiran Hyderabad, sebelum mayatnya dibuang dan dibakar 24 kilometer dari situ.

Ibu mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan mendesak pihak berkuasa segera menangkap pembunuh anaknya dan membakar mereka hidup-hidup.

Pakaian, kasut dan botol milik Priyanka ditemui berhampiran laluan bertol, tempat mangsa meletak motosikalnya dan identiti gadis malang itu hanya berjaya dikenal pasti keluarga melalui loket yang dipakai.

Menurut polis, mayat wanita berkenaan ditemui seorang penjual susu pada jam 6 pagi semalam (waktu tempatan) yang kemudian segera menghubungi pihak berkuasa.

Susulan kejadian, empat lelaki ditahan termasuk seorang pemandu lori dikenali sebagai Mohammed Pasha.

Identiti kesemua suspek dikenal pasti selepas pihak berkuasa meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi kejadian.

Siasatan mendapati, Priyanka sebelum itu menghubungi kakaknya, Bhavya pada jam 9.45 malam bagi memberitahu tayar motosikalnya pancit dan ada seorang individu menawarkan diri untuk membantu.

Mangsa turut memaklumkan bahawa dia berasa takut dengan kehadiran sekumpulan pemandu lori berhampiran.

Bhavya kemudian menasihati adiknya untuk meninggalkan kenderaan itu dan berjalan menuju ke pondok tol sebelum pulang menaiki teksi, namun mangsa tidak sempat berbuat demikian.

“Dia cuba meninggalkan lokasi namun dihalang sekumpulan lelaki yang menawarkan diri untuk membantu menukar tayar berkenaan,” kata polis.

Polis juga percaya tayar motosikal mangsa sengaja dipancitkan bagi membolehkan penyerang melakukan jenayah itu dengan lebih mudah. - Berita Harian Online