Ketagih Main Game, Remaja Meninggal Dunia Akibat Strok


BANGKOK: LAGI kes kematian akibat ketagihan permainan komputer yang melampau.

Kali ini seorang remaja di Udon Thani, utara Thailand ditemui tidak bernyawa oleh ayahnya selepas bermain permainan komputer berterusan pada Isnin lepas.

Piyawat Harikun, 17, yang ditemukan terbaring berhampiran kerusi meja komputer di biliknya dipercayai mati akibat serangan strok.

Beberapa keping gambar yang dipaparkan dalam laporan portal The Mirror menunjukkan meja remaja itu berselerak dengan bekas makanan.

Menurut ayah mangsa, Jaranwit Piyawat, dia cuba memanggil anaknya berulang kali namun tidak mendapat respons.

Harikun dipercayai bertugas sebagai anggota muda tentera udara tidak dapat diselamatkan pasukan perubatan.

“Saya sudah cuba memberi amaran mengenai ketagihannya yang melampau dan dia berjanji akan cuba mengurangkannya.

"Malangnya semua sudah terlambat,” kata ayahnya dengan nada sebak.

Jaranwit berkata tragedi ini wajar dijadikan teladan oleh ibu bapa lain dan berharap agar mereka lebih serius dalam mengawal ketagihan anak-anak mereka dalam permainan komputer.