Namun berbeza dengan sebuah Pasti di Johor kerana mempunyai seorang murid berbangsa India.
Walaupun berbeza kaum dan agama, namun kanak-kanak itu tidak kekok belajar dan lebih mengujakan dia fasih membaca beberapa doa dalam bahasa Arab.
Perkara tersebut telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook bernama IsmaJannah yang merupakan guru di tadika tersebut yang telah memuat naik beberapa gambar kanak-kanak itu yang bernama Reshannya.
Isma turut berkongsi maklumat melalui hantaran yang dimuat naik yang mengatakan kanak-kanak tersebut boleh membaca beberapa doa seperti doa makan dan doa belajar dalam bahasa Arab.
“Adik Reshannya, pelajar yang cukup istimewa daripada Pasti kami. Fasih membaca doa makan dan doa sebelum belajar dalam bahasa Arab,” tulisnya.
Perkongsian tersebut kini tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet dan rata-rata mereka memuji tindakan murni ibu bapa Reshannya di samping mendoakan kecemerlangan buat kanak-kanak tersebut.
Reshannya merakamkan gambar bersama rakan-rakannya di Tadika Pasti.
Netizen juga turut mengagumi ibu bapa Reshannya dan kanak-kanak itu kerana bukan mudah sebenarnya untuk mempelajari bahasa Arab.
“Sangat positif ibunya. Kami bangga dengan keluarga puan. Semoga anak puan menjadi anak yang cemerlang,” tulis Are Zam di Facebook.
Hairunnisa Kamaruzaman pula menulis, "Comelnya dia. Sahaja nak kongsi, ramai sahabat bukan Muslim salah faham agama Islam ini untuk umat Islam. Bukan, agama Islam ini ALLAH ciptakan untuk semua tidak kira bangsa dan agama. Semua dialu-alukan untuk belajar."
Dalam pada itu, ibu kepada Reshannya turut memberi komen di dalam hantaran yang dimuat naik oleh Isma yang tidak kisah anaknya bersekolah di sekolah tersebut dan berterima kasih kepada netizen kerana memberi kata-kata positif kepadanya.
“Saya mak Resha. Saya memang tak kisah anak saya belajar semua ini. Saya bangga lagi. Terima kasih semua yang memberi komen.
"Saya macam biasa sahaja, tiada apa yang beza dengan ibu-ibu lain cuma saya nak anak saya belajar semua tidak kira agama apa pun. Agama Islam ini akan didik anak saya dengan baik,” tulisnya. - Sinar Harian