Mahligai baru dibina Vanessa turut menimbulkan tanda tanya apabila dia memilih untuk merahsiakan perkahwinannya daripada pengetahuan umum pada saat kes membabitkannya menjual tubuh masih belum jelas.
Lebih menghairankan, wajah suami Vanessa juga tidak didedahkan hingga saat ini.
Pengurusnya, Joana Kania - yang mengesahkan berita itu - menjelaskan, pelakon filem Cinta Intan itu mengambil keputusan untuk berkahwin secara diam-diam kerana dia penat dengan tanggapan dilontar masyarakat.
“Begini, dia sebenarnya sudah penat. Dia bagitahu, apa saja dilakukannya selalu dianggap salah, selalu menjadi hal yang negatif,” katanya dipetik media Indonesia.
Menurut Joanna lagi, Vanessa, 24, juga enggan imej negatif dirinya terpalit pada si suami. Katanya, cukuplah dirinya saja yang dilabel tidak baik.
“Dia tak mahu kehidupan barunya bertukar menjadi perkara tak baik. Biar umum mengetahui bahawa dirinya yang tak baik. Tak perlu babitkan suami.
“Kan suami pun ada imej keluarganya yang perlu dijaga, tu alasannya,” katanya.
Vanessa dikatakan bernikah dengan seorang pemuda yang hanya dikenali sebagai F di Cinere, Depok pada 15 Disember lalu.
Perkahwinan diadakan dalam majlis tertutup itu hanya dihadiri kenalan rapat Vanessa bahkan tidak dihadiri kedua orang tuanya.
Terdahulu, nama Vanessa menjadi panas apabila dia dikaitkan dengan kes pelacuran dalam talian dan menyebar kandungan pornografi.
Namun, polis kemudian mengumumkan Vanessa hanya didakwa atas penyebaran bahan lucah berbentuk imej dan video bertujuan mencari pelanggan dalam talian dan bukan pelacuran.
Atas kesalahan terbabit, Vanessa mendekam lima bulan dalam penjara dan dia dibebaskan pada 30 Jun lalu.
Bagaimanapun, untuk rekod, Vanessa dicekup di atas ranjang bersama seorang lelaki disyaki sebagai pelanggan di sebuah hotel mewah pada 5 Januari lalu.
Sementara itu, Joana ketika ditanya berhubung respons Vanessa terhadap pernikahan tersebut berkata, pelakon itu memohon diberi ruang untuk menjaga privasinya.
“Vanes minta untuk difahami saja,” katanya. - Malaysiakini