LAGOS - "Maafkan saya, salah seorang kembar ini memang anak kamu?" Demikian soalan yang sering diajukan kepada seorang ibu muda apabila bertemu orang ramai setelah dikurniakan pasangan kembar berbeza warna kulit.
Stacy, 30, berkata, anak kembarnya, David memiliki kulit cerah dengan rambut warna keperangan, manakala Daniel berkulit gelap dan berambut kerinting seperti kakaknya, Demilade, 4.
"David adalah albino, manakala Daniel kanak-kanak normal. Mereka dilahirkan selang beberapa minit sahaja dan memiliki mata coklat yang cantik sekali gus menarik perhatian orang ramai.
"Bila keluar berjalan-jalan, saya sudah menjadi lali apabila ramai bertanyakan sama ada David ini anak saya tapi lama kelamaan saya sudah biasa dan hanya menjawab kedua-dua ini memang anak saya," katanya.
Stacy merupakan seorang pereka fesyen pada mulanya terkejut ketika doktor memberitahu memiliki dua anak berbeza warna kulit ketika melahirkan kedua-duanya pada 26 Februari lalu di Lagos Nigeria.
Stacy bersama pasangan kembar unik menjadi tumpuan orang ramai. - Foto SWNS
"Apabila doktor memberitahu bahawa anak-anak saya tidak sama, saya terkejut. Mereka tidak berkongsi warna kulit atau rambut yang sama.
"Saya fikir bagaimana ini boleh berlaku. Saya melihat ke bawah dan melihat David, dia benar-benar putih.
"Saya memanggil suami supaya dia dapat melihat apa yang berlaku kerana saya tidak faham. Dia pun tidak percaya apa yang dilihatnya, namun mereka begitu comel dan itulah keajaiban berlaku dalam keluarga kami," katanya kepada Metro.co.uk.
Dia turut gembira memiliki keluarga yang unik dan semakin popular di laman sosial. - Sinar Harian