“Itu semua adalah tohmahan, malah ia langsung tidak menjejaskan tumpuan saya terhadap misi ke Makkah,” katanya mengulas dakwaan misi itu tidak diterusknnya dan menggunakan dana dikumpul untuk membeli kenderaan.
Sitdek berkata, ada individu dipercayai sengaja menyebarkan fitnah itu menerusi laman sosial Facebook (FB) dan menjadi tular sehingga menyebabkannya dikecam netizen tanpa usul periksa.
Katanya, beliau masih meneruskan misi itu tetapi terpaksa pulang ke rumah di FELDA Palong, Jempol, selepas terkandas di Kuantan, Pahang akibat banjir pada 19 Disember lalu.
“Basikal saya masih berada di Kuantan di rumah seorang rakan saya. Dia yang menasihati saya supaya pulang dulu sementara menunggu keadaan kembali pulih. Malah, dia juga yang menghantar saya ke rumah.
“Saya akan meneruskan kayuhan mengumpul dana seperti yang dijadualkan selepas ini. Misi saya ke Makkah pada tahun depan tetap saya laksanakan walaupun mungkin berdepan pelbagai cabaran,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mengenai dakwaan beliau membeli kenderaan baharu menggunakan wang dana, Sitdek menafikan tuduhan itu dan memaklumkan kenderaan itu dibelinya menggunakan wang pendapatan sebagai peneroka, selain simpanan daripada pemberian anak-anak.
“Saya mempunyai 10 anak dan kebanyakannya sudah bekerja, secara logiknya sudah tentu mereka memberikan wang kepada saya serta isteri. Tidak pernah saya ceritakan (hal peribadi) kepada semua orang dan saya rasa tidak perlu pun untuk saya beritahu.
“Namun saya tak sangka pula (beli kenderaan) akan jadi isu. Saya beli kereta terpakai menggunakan wang hasil jualan kuda manakala motosikal baharu pula milik anak saya yang dibeli menggunakan wang yang dipulangkan oleh pemilik motosikal lama kerana ada masalah dokumentasi,” katanya.
Pada mulanya Sitdek mahu mengambil pendekatan berdiam diri, namun disebabkan isu itu menjadi semakin hangat, beliau akhirnya tampil memberi penjelasan kerana tidak mahu orang ramai salah sangka terhadap dirinya.
Mengulas mengenai kayuhan solo mengelilingi Semenanjung bagi mengumpul dana untuk melaksanakan misi kayuhan ke Makkah, Sitdek berkata, beliau sudah menamatkan pusingan pertama membabitkan jarak 10,000 kilometer sejak Mei lalu dan kini hanya berbaki lebih 5,000 kilometer.
Selepas itu, beliau akan melalui beberapa negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Afghanistan, Iran, Arab Saudi dan Mekah untuk menunaikan ibadah haji atau umrah tahun depan.