Tertuduh, Mohd Hanafi Mohd Hilmi,35, dari Taman Sri Layang, Mentakab membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ti Pei Si manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Asisten Superintendan Marina Hashim.
Pei Si kemudiannya menetapkan sebutan semula pada kes pada 17 Januari depan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak melakukan ancaman kepada isteri tertuduh sepanjang tempoh terbabit.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Layang kira-kira jam 10.30 malam pada 26 Disember lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326A KK yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman memberitahu, hasil siasatan, suspek bertindak memukul mangsa di ruang tamu rumah terbabit kerana bertanyakan mengenai perempuan yang bergambar dengan lelaki itu yang terdapat dalam telefon bimbit milik suspek.
Menurutnya, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kesan merah, calar di lengan dan belakang kaki kiri serta bengkak di bahagian kepala.
"Rakaman percakapan telah diambil dan suspek mengaku bertindak sedemikian kerana mangsa telah memecahkan telefonnya dan memberitahu pertengkaran tersebut bukan kali pertama berlaku.
"Berdasarkan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat 'soft tissue injury' dan kejadian ini bukan kali pertama berlaku serta mangsa dalam keadaan pantang selepas bersalin," katanya. - Sinar Harian