Sekalipun akan dianggap sebagai artis miskin, Sheila Mambo tetap bersyukur jika ada rezeki untuknya mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Kata pelakon terbabit, dia tidak beranggapan maruahnya akan jatuh apabila menghuni rumah yang dikhususkan untuk golongan berpendapatan rendah berkenaan.
"Jatuh ke maruah kalau miskin? Saya tak fikir macam tu. Pada saya jadi orang miskin bukan perkara yang menjatuhkan maruah,"katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Malah pelakon Mami Jarum itu berpendapat, pemilikan rumah PPR bukan semestinya menjadikan seseorang itu hina.
Katanya, orang lain yang sudah memiliki rumah juga mungkin tergiur untuk mendapatkan kediaman PPR jika diberikan pilihan sebagai harta tambahan.
Menurut pemilik nama sebenar Rusilawati Hasan itu, seseorang yang miskin tetapi tidak melakukan kejahatan jauh lebih mulia jika dibandingkan dengan individu kaya-raya tetapi melakukan perbuatan keji.
"Daripada saja-saja minta sedekah atau mencuri, mana lebih hina?" soal pelakon yang turut terlibat dalam drama Asalkan Dia Bahagia itu.
Untuk rekod, nama Sheila, 57, tersenarai antara puluhan penggiat seni, warga industri hiburan, karyawan filem dan televisyen yang memohon Perumahan Komuniti Seni Harapan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.
Pelakon yang juga pernah menjayakan drama Andainya Takdir itu berkata demikian ketika situasi industri seni tanah air dilihat semakin mengabaikan pelakon-pelakon seusia dengannya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan mengenai pandangan pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal, Jalil Hamid, yang bertegas mahu tetap lantang menyuarakan hak dan kepentingan artis walaupun akan dijadikan kambing hitam.
Kata Sheila, keadaan ekonominya ketika ini ada kaitan dengan keadaan tawaran berlakon yang tidak lagi diterima seperti suatu ketika dulu.
Menurut pelakon veteran itu, sudah sembilan bulan dia tidak terlibat aktif dalam sebarang filem atau drama, kecuali mendapat tawaran pada skala kecil-kecilan saja.
Sheila menambah, namanya ada dicadangkan untuk menjayakan beberapa naskhah drama televisyen tetapi ditolak akhirnya.
"Ada penerbit panggil, tapi entah kenapa nama saya tak lekat sebelum ni.
"Selain itu ada satu panggilan selepas sembilan bulan tunggu, cuma bayarannya secara harian dan saya kerja untuk dua tiga hari saja," katanya yang menjadi pelakon residen sebuah syarikat produksi terkenal itu.
Bagaimanapun, Sheila enggan berpandangan negatif dalam soal berkenaan sebaliknya menganggap ia sebagai suatu peluang untuk bermuhasabah, selain tetap bersyukur kerana diberi kemahiran dari Allah untuk terus menampung kehidupannya dengan berniaga secara kecil-kecilan.
"Ujian Allah kita tak boleh bersungut. Saya fikir balik di mana silap saya sampai ada orang panggil tapi tiba-tiba nama tak lekat. Bila jadi macam tu saya muhasabah diri.
"Alhamdulillah boleh berniaga makanan dan kek secara kecil-kecilan mengikut tempahan diterima, boleh juga menampung hidup,” katanya.
Sheila yang 30 tahun berkecimpung dalam industri seni berharap kebajikan selaku pelakon lama tidak diabaikan.
"Ada pihak mengesyorkan pemberian pencen kepada pelakon veteran bagi saya sama dapat atau tak, kebajikan pelakon lama usah dipinggirkan," katanya. - Malaysiakini