Mangsa bersama suami, Nor Azry Mohd Rosddin, 34, dan tiga anak mereka pulang ke kampung suaminya sejak Isnin lalu.
Bapa mentuanya, Mohd Rosddin Hasbullah, 62, berkata, dia tidak menyangka majlis keluarga diadakan itu merupakan kali terakhir dia bersama menantu dan cucunya.
Menurutnya, dia mengetahui kemalangan meragut nyawa menantu dan cucunya itu selepas dihubungi Nor Azry kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
"Nor Azry bersama keluarganya pulang ke kampung untuk meraikan majlis keluarga sejak Isnin lalu. Majlis itu diadakan di rumah anak ketiga dan kami semua berkumpul di situ. Keluarga lain bercadang untuk pulang ke rumah masing-masing pagi ini.
"Bagaimanapun, Nor Azry dan keluarga menyatakan mahu pulang semalam kerana mahu menguruskan hal persekolahan anak sulungnya. Saya kemudiannya menerima panggilan dari Nor Azry mengatakan mereka terlibat kemalangan dan isteri serta bayinya meninggal dunia," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap di sini hari ini.
Sementara itu, adik Nor Azry, Mohd Amirul berkata, mereka sekeluarga sempat ke Padang Besar, Perlis sebelum bergerak pulang kira-kira jam 8.30 malam.
Dia berkata, kakak iparnya tidak menunjukkan perubahan besar namun menuruti semua kemahuan anaknya ketika membeli-belah di Padang Besar.
"Tak ada perubahan yang ketara, cuma dia banyak bercakap. Dia hanya menuruti semua kehendak anaknya. Kali terakhir kami mengetahui mengenai mereka ketika menghantar gambar di Whatsapp keluarga menyatakan mereka singgah makan di Bukit Mertajam.
"Menurut abang (saya), ketika kejadian kereta mereka sedang berhenti kerana terdapat kerja membaiki jalan di lebuhraya namun tiba-tiba kenderaan mereka dirempuh sebuah treler," katanya.
Dalam kejadian 12.10 tengah malam tadi, seorang suri rumah dan bayi perempuannya berusia lapan bulan maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan dua buah treler dan tiga buah kereta lain di Kilometer (KM) 160.9, Lebuhraya Utara Selatan di sini.
Kemalangan membabitkan enam kenderaan dalam kejadian tengah malam tadi.
Siti Khadijah bersama Nur Qaireen Marissa Nor Azry maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk belakang Proton Waja yang dinaiki.
Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah pacuan empat roda.
Menurutnya, treler tersebut turut melanggar sebuah Proton Waja menyebabkannya tersepit dengan sebuah treler lagi yang berada di lorong sebelah kiri selain merempuh sebuah Perodua Bezza sehingga menyebabkan kereta tersebut melanggar kereta Honda City yang berada di hadapannya.
Katanya, pemandu treler terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.
Akibat kemalangan tersebut, laluan lebuh raya arah selatan mengalami kesesakan lalu lintas sepanjang enam kilometer. - Sinar Harian