Tertuduh yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berusia 43 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Berdasarkan pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual dengan meraba dada dan punggung mangsa di rumahnya di Kampung Baru Sungai Terap, Batu Gajah antara jam 3 petang dan 5 petang pada 26 hingga 27 Disember 2019, 7 Januari dan 13 Januari lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat serta hendaklah diperintahkan untuk menjalani pengawasan polis selama tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa pada tarikh, lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 20 tahun dan sebat serta hendaklah diperintahkan untuk menjalani pengawasan polis selama tiga tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Hakim mengingatkan bahawa jaminan tertuduh akan ditarik serta merta selepas didapati menganggu mangsa.
Kes akan disebut semula pada 27 Februari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Fairuz Rahman. - Astro AWANI