Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata suspek yang berusia lewat 40-an ditahan di kediamannya di Kajang pada jam 2 petang oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
“Selasa lalu, kita terima satu laporan polis daripada seorang remaja perempuan memaklumkan dia dirogol oleh seorang lelaki tempatan di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Bangi.
“Menurut mangsa, dia mengenali suspek menerusi aplikasi sembang maya dan lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai ‘Dato’ Abhy’.
“Suspek kemudian menawarkan peluang pekerjaan kepadanya sebagai pembantu peribadi berserta dengan tawaran gaji yang lumayan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, mangsa kemudian diminta datang ke rumah kedai terbabit sebelum suspek mengambil kesempatan itu untuk merogol mangsa.
Selain itu, katanya, terdapat satu lagi laporan kes rogol kita terima pada Isnin lalu yang mana suspek disyaki merogol mangsa menggunakan modus operandi (MO) yang sama.
“Kita percaya suspek terbabit dengan beberapa kes rogol lain menggunakan MO yang sama iaitu memerangkap mangsa dengan menawarkan tawaran kerja sebagai pembantu peribadi dengan gaji yang lumayan menerusi aplikasi sembang maya.
“Justeru, kita menggesa mana-mana pihak yang menjadi mangsa rogol suspek supaya tampil membuat laporan polis,” katanya sambil menambah, permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan di Mahkamah Kajang pada jam 9 pagi esok.
Beliau berkata, orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu atau mana-mana kejadian yang menggunakan MO sama menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 019-2299906 atau balai polis berhampiran. - Berita Harian Online