Gemma Watts, 21, menyamar sebagai Jake Waton, remaja lelaki berusia 16 tahun menerusi laman sosial untuk menjalin hubungan dengan gadis seawal usia 14 tahun dan polis menyifatkan watak digunakannya amat meyakinkan.
Gemma mengaku bersalah pada November tahun lalu atas tujuh pertuduhan membabitkan empat mangsa berusia antara 14 dan 15 tahun tetapi polis percaya dia adalah pemangsa yang prolifik dan ramai lagi gadis yang menjadi mangsanya.
Pertuduhan ke atasnya termasuk serangan dan amang seksual. Gemma yang kini bebas dengan ikat jamin, akan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Winchester Crown, selatan England.
Pegawai penyiasat yang terbabit dengan kes berkenaan, Phillipa Kenwright, berkata mangsa tidak tahu mereka diperdaya sehingga mengetahuinya sendiri selepas dihubungi pihak polis.
“Ia mengubah kehidupan mangsa berkenaan, malah ia adalah hubungan seks pertama bagi sesetengah gadis ini,” katanya.
Beliau berkata, kes terbabit tidak dilaporkan di media sebelum ini dan berharap lebih ramai mangsa akan tampil membuat laporan sebaik saja kes berkenaan mendapat liputan media.
Katanya, dianggarkan antara 20 hingga 50 gadis menjadi mangsa dalam kes terbabit. - Berita Harian Online