Meskipun kewajaran untuk berbuat demikian mengundang tanda-tanya pada usahawan produk kosmetik itu, akhirnya dia tetap akur demi menghentikan isu terbabit daripada terus berpanjangan.
“Sebenarnya, saya sendiri masih tertanya-tanya kenapa perlu minta maaf? Jangan salahkan saya atas kebenaran yang berlaku. Saya hanya jadi asbab mengapa perkara ni diketahui orang.
“Tapi tak mengapa. Biarlah berdamai, saya tak nak dipersalahkan sama seperti isu adik Balqis yang pernah terjadi sebelum ni. Saya nak tutup cerita sampai sini saja.
“Buat apa nak cari gaduh dengan orang, nanti mati mengejut. Ni dah nak dekat bulan puasa, biarlah saya mengalah. Jangan bercerita pasal saya, ceritalah pasal situasi dalam kerajaan sedang berlaku sekarang.
“Justeru, saya Aliff Syukri Kamarzaman mohon maaf. Saya tujukan kepada Ali Puteh, Nor Hidayah, keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang bersetuju bertemu semua pihak bagi menjernihkan keadaan.
Aliff berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di pejabatnya di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Ketika sidang media pada 21 Februari lalu, Ali menasihatkan jutawan itu agar bertaubat selain memohon maaf kepada ibunya kerana memecahkan hubungan silaturahim kedua-dua belah keluarga yang selama ini dipelihara dengan baik.
Terdahulu, Aliff menziarahi Nor Hidayah dan anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan bertujuan untuk menghulurkan sumbangan selain mengetahui perkembangannya yang terkini.
Bagaimanapun, sesi wawancara berkenaan mengundang spekulasi nasib Nor Hidayah dan anaknya tidak terbela.
Sementara itu, mengulas mengenai kesesuaian soalan untuk diajukan pula, Aliff menegaskan bahawa kesemuanya sudah dimaklumkan terlebih awal kepada Nor Hidayah sebelum pertemuan tersebut berlangsung.
“Sumpah demi Allah, kalau tahu sampai gaduh, nangis-nangis, memang taklah. Kalau publisiti lagu ke drama ke tak apa. Kisah macam ni hanya mengaibkan saya saja.
“Sesi temubual itu dimuat naik di Facebook saya, bukan YouTube. Ramai orang salah tafsir kata saya nak buat keuntungan,” katanya.
Aliff berkata, dia mempunyai bukti bahawa Nor Hidayah dengan rela hati sudi berkongsi masalah yang sedang dialami.
“Sebenarnya tanpa paksaan pun Hidayah sendiri ingin bercerita. Dia yang cakap nak bercerita sebab tak ada orang nak wawancara dia.
“Saya ada bukti video lain (kandungan wawancara), hampir tiga jam, macam drama sinetron, tapi biarlah saya simpan sebab tak mahu keruhkan lagi keadaan.
“Tapi jika terpaksa baru saya muat naik ke media sosial bagi mengelakkan saya terus dipersalahkan,” katanya. - Malaysiakini