Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, dalam kejadian pada 20 Februari lalu itu, mangsa yang berusia 16 tahun diserang suspek ketika sedang menunggu ibunya di hadapan pagar sekolah kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, suspek yang juga berusia 16 tahun telah menarik baju dan beg sekolah mangsa hingga ke perhentian bas sebelum menampar muka dan menendang badannya.
“Suspek telah pergi ke sekolah tersebut bersama rakannya dengan menaiki sebuah motosikal. Ketika kejadian, rakan suspek tidak terlibat dan hanya menunggu di motosikal.
“Suspek mengingatkan mangsa agar tidak mencari masalah sekiranya tidak mahu sesuatu tidak diingini berlaku ke atasnya.
“Suspek terus menampar muka dan menendang perut mangsa menggunakan lutut menyebabkannya berasa sakit di muka dan perut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek berikutan bersekolah di sekolah berbeza.
Menurutnya, ibu mangsa mengetahui perkara itu dan melaporkan kepada polis selepas melihat satu rakaman video membabitkan anaknya yang tular di media sosial.
Katanya, susulan laporan polis yang dibuat, suspek ditahan di rumahnya pada jam 4.15 pagi semalam.
“Turut dirampas pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian tersebut.
“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian namun kita memperoleh satu rakaman video yang dirakam orang awam menggunakan telefon bimbit,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencingnya juga negatif.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian