'Pelan B' Jika Mahathir Ingkar Peralihan Kuasa - William

Pemimpin PKR memberi bayangan sesuatu perlu dilakukan, termasuk tekanan daripada pandangan awam sekiranya pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim tidak berlaku.

Bekas bendahari PKR, William Leong, berkata sekarang adalah masa untuk menggunakan "pelan B" bagi memastikan Presiden PKR diangkat sebagai perdana menteri kelapan.

"Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan pandangan untuk kerajaan kembali kepada landasan.

"Kita sudah turun ke jalan raya sebelum ini, bukan saya mahu suruh mereka turun, tapi kita mahukan semangat," katanya pada majlis kupasan politik semasa di Damansara, hari ini.
Iklan

Bagaimanapun, William yang juga MP Selayang tidak menjelaskan lanjut mengenai pelan B yang disebutnya itu.

Turut serta pada program itu, bekas anggota Parlimen Kapar G Manivannan, bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor dan penulis buku pro Anwar, Shahbudin Husin.

Isu peralihan kuasa antara perdana menteri kepada Anwar terus menjadi pertikaian, walaupun Dr Mahathir telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk berundur daripada jawatan perdana menteri pada November ini, selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur.

Spekulasi terus bertiup apabila terdapat laporan mendakwa sesetengah pihak dalam PH dan Umno mahu Mahathir - yang juga pengerusi Bersatu - menamatkan penggalnya sehingga pembubaran parlimen akan datang.

Sesetengah pihak mendakwa terdapat anggota parlimen pembangkang dan PH berpakat untuk menandatangani SD sokongan kepada Mahathir.

Pada masa sama PAS menggerakkan usaha membawa usul menyokong Mahathir pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dijadual berlangsung bulan depan.

Perdana menteri ketika ditanya media mengenai spekulasi itu pada 14 Feb lalu, menyalahkan media berhubung kontroversi peralihan kuasa dan beliau sekali lagi menegaskan akan berundur selepas November tahun ini.

“Saya dengar cerita macam-macam, nak suruh saya kekal 22 tahun lagi.

"Saya sudah 94 tahun.

“Tak lama lagi 95. Mana boleh tahan.

"Saya janji akan letak jawatan selepas Apec, itu saya pegang kepada janji saya.

"Saya tidak terlibat dengan yang lain (SD), cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan," katanya.

Mahathir juga menjawab soalan pemberita berkaitan dakwaan terdapat 138 anggota parlimen menyokongnya untuk menghabiskan penggal berkhidmat sebagai perdana menteri.

"Hari ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti (dalam Parlimen), macam mana boleh dapat angka 138, yang itu orang lain punya kerja, saya tidak tahu (bagaimana) mereka boleh buat macam itu.

"Maknanya PH mesti sokong lah (baru boleh) dapat angka macam itu," jelasnya.

Sebelum ini, Anwar selepas bertemu perdana menteri berkata Dr Mahathir tidak terlibat dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga habis penggal.

Sarawak Report minggu lalu mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.

Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik "khabar angin" bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Bagaimanapun, menteri kabinet Zuraida Kamaruddin, yang juga penyokong kuat Azmin dalam PKR, menafikan laporan itu.

Dalam pada itu, William pada hari ini menyifatkan Dr Mahathir tidak pernah berubah daripada sikap 'diktaktornya' sebelum ini.

MP Selayang William Leong dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di parlimen ketika sesi pembentangan belanjawan 2019.

"Rakyat Malaysia sudah bagi peluang untuk dia (Mahathir) tunjukkan sudah berubah, tapi malangnya, selepas satu setengah tahun dia tak berubah," katanya.

Dalam pada itu, Shahbudin pula menyifatkan PAS sebagai parti pembangkang menjadi pengampu kepada perdana menteri melebihi pihak yang berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, PAS sebagai parti pembangkang sepatutnya menjalankan tugas semak dan imbang kepada kerajaan bukannnya mengampu kerajaan.

"PAS patutnya jadi 'check and balance' bukan jadi pengampu. Jadi pengampu melebihi pihak yang ada dalam PH," katanya hari ini mengulas mengenai tindakan PAS yang mahu membawa usul menyokong perdana menteri dalam sesi Parlimen bulan depan.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata, Majlis Presiden PH yang bersidang 21 Feb nanti perlu membuat tiga ketetapan berhubung isu peralihan kuasa.

Ezam dakwa Azmin dalang sekat Anwar

Iaitu pertama, penetapan tarikh peralihan kuasa, kedua menolak sebarang bentuk akuan bersumpah (SD) menyokong perdana menteri kekal hingga habis penggal dan menolok usul yang akan dibawa PAS.

Sementara itu, Ezam yang juga bekas pembantu Anwar, mendakwa Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai dalang kepada usaha menyekat Anwar menjadi perdana menteri.

Katanya, Azmin juga menjadi individu yang mengatur pertemuan pemimpin PAS dengan Mahathir dan mendapatkan sokongan pemimpin Umno dengan menggunakan Hishammuddin Hussein.

Menurut Ezam lagi, dakwaan tersebut dibuatnya selepas bekas menteri besar Selangor itu sendiri yang memaklumkan hal itu kepadanya sebelum ini.

"Bagi tahu dia (Azmin) berhenti jadi ejen, berhenti jadi alat, jadi perkakas... PKR parti reformis bukan parti diktator.

"Azmin bawa Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjumpa Tun M, saya tahu sebab Azmin sendiri bagi tahu saya," katanya ketika berucap hari ini.

Dakwa Ezam lagi, Azmin juga individu yang bertindak mengumpul SD bagi memastikan sokongan kepada Mahathir untuk terus kekal berkuasa. - Malaysiakini