Sedutan video tangisan seorang kanak-kanak lelaki memakai uniform sekolah itu dimuat naik menerusi Twitter @zrfhmz mendapat perhatian netizen dan telah ditonton lebih 63,300 kali sejak 5 petang tadi.
"Sepupu saya menangis teresak-esak apabila dia tahu tentang Abam Bocey meninggal dunia," ciapnya.
Menerusi video durasi 34 saat itu turut kedengaran suara wanita memberi kata-kata semangat dan meminta kanak-kanak itu sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Abam Bocey.
Rata-rata netizen yang menonton video tersebut tersentuh hati dan hiba selain amat memahami perasaan kanak-kanak berkenaan.
"Kali terakhir saya nangis gila sebab artis meninggal adalah ketika arwah Pak Yus (Yussry Edoo) dan kini Abam Bocey. Tak tahu kenapa terkesan sangat pemergian mereka.
"Mungkin sebab mereka ada menghiburkan kita saat kita tertekan, sedih, hadapi dugaan hidup," kata @noura_aishae.
Kata @Hykal, "Arwah Abam Bocey bukan hanya pelawak tetapi memberi inspirasi kepada generasi muda. Rasa sebak dan jatuh air mata jantan aku tengok adik ni menangis. Al-fatihah untuk arwah Abam Bocey."
Ujar @mimiazrna, "Saya rasa apa yang adik rasa, tapi ALLAH lebih menyayangi Abam. Walaupun Abam sudah tiada di dunia, dia akan sentiasa ada dalam ingatan." - Sinar Harian