Jazmanniza Man, 35, ketika kejadian mengandung anak keempat dan dijadualkan bersalin pada Julai depan.
Adik mangsa, Ahmad Sahfizal, 27, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, kakak sulungnya itu sempat memberitahu yang dia mengidam untuk makan kek.
"Kebetulan petang semalam, kak long ada datang rumah dan tunjukkan kek yang diterima daripada rakannya.
"Arwah sebenarnya dah lama tak datang ke rumah tetapi sejak tiga hari lepas, setiap hari dia singgah ke rumah untuk bersembang.
"Dia juga minta saya buatkan burger daging dan hantar ke rumahnya malam tadi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Kejadian sekitar jam 1 pagi itu turut mengorbankan dua anak mangsa iaitu Muhammad Anas Rizqi Mohd Khairul, 4, dan Nur Auliya Medina, 3.
Ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di atas katil di sebuah bilik oleh sepasukan anggota bomba ketika menjalankan kerja pemadaman pada jam 1.35 pagi.
Sementara itu, suami mangsa, Mohd Khairul Ismail, 38, dan anak sulung, Muhammad Afip Aryan, 6, berjaya menyelamatkan diri.
Adik Jazmanniza, Jamal Alzuan Man, 33, yang tinggal bersama di rumah itu turut terselamat.
Ahmad Sahfizal berkata, kejadian itu disedari selepas dimaklumkan abangnya, Jamal yang datang ke rumahnya terletak kira-kira 500 meter dalam keadaan cedera.
"Abang beritahu kak long dah tiada dan minta bantuan saya segera hubungi bomba.
"Walaupun reda dengan kejadian ini, rasa terkilan tetap ada mengenangkan arwah sedang mengandung pergi bersama dua anaknya," katanya.
Jiran mangsa, Mohamad Khairul Azhar Abu Bakar, 21, berkata, keadaan api terlalu marak menyebabkan orang ramai tidak mampu membantu menyelamatkan mangsa.
Katanya, lebih menyayat hati apabila melihat suami mangsa, Mohd Khairul menangis meminta orang ramai membantu mengeluarkan isteri dan anak-anaknya.
"Saya lihat suami kak long dah terduduk di tepi jalan sambil menangis. Dia sebenarnya cuba masuk dalam rumah untuk selamatkan isteri dan dua anak tetapi tidak berjaya kerana keadaan api marak," katanya.
Azmi (kanan) ketika meninjau keadaan kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan tiga beranak di Kampung Sungai Relong, Kamunting hari ini.
Mohd Khairul yang parah akibat lecur di beberapa bahagian badan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.
Dalam pada itu, Muhammad Afip yang terselamat dalam kejadian itu berkata, dia telah diminta oleh ayahnya untuk terjun dari tingkap bilik.
Ketika itu, dia sempat melihat ibu serta dua adiknya masih dalam keadaan tidur.
"Ayah suruh saya terjun dulu dari tingkap bilik tapi masa itu ibu dengan adik tengah tidur lagi," katanya yang mengalami cedera ringan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, keadaan struktur rumah diperbuat daripada kayu dan pergerakan angin menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.
"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati kemungkinan api bermula dari bahagian bilik yang menempatkan mangsa, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kejadian.
"Daripada operasi ini, tiga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara tiga lagi berjaya menyelamatkan diri," katanya.
Operasi melibatkan 13 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting serta Taiping itu tamat pada jam 4.40 pagi. - Sinar Harian