Bagaikan tiada siapa ambil peduli keluarga itu yang tiada pekerjaan tetap. Nenek tinggal bersama anak dan cucu, hidup dalam keadaan benar-benar kais pagi makan pagi, menderita sekali.
Seperti yang ditularkan di media sosial, tempat tinggal keluarga malang itu tidak lebih baik daripada reban ayam, kotor dan bocor di sana sini.
Maka seorang hamba ALLAH telah datang menghulurkan bantuan dengan memindahkan keluarga berkenaan ke sebuah rumah sewa baharu yang lebih sempurna, tidak jauh dari reban ayam berkenaan.
Sewa rumah baharu berkenaan RM800 sebulan dan hamba ALLAH berkenaan berjanji akan membayarkan sewa setiap bulan sehinggalah keluarga itu memperoleh sumber pendapatan tetap.
Ada pun hamba ALLAH yang baik hati itu ialah Ebit Lew, seorang pendakwah bebas yang dikatakan diminati dan diikuti oleh ribuan peminat, termasuk di media sosial.
Kebaikan pendakwah bebas berkenaan ada pihak tidak berpuas hati dan mempertikaikan sejauh mana keikhlasan pendakwah berkenaan dalam membantu keluarga miskin tersebut.
Ada pihak – termasuk dalam kalangan sesama pendakwah sendiri – yang menuduh pertolongan pendakwah keturunan Cina itu sengaja hendak menunjuk-nunjuk untuk mendapat publisiti murahan.
Malah ada yang mencaci pendakwah sambilan itu memungut wang daripada orang ramai, membeli kenderaan mewah dan berpura-pura baik membantu golongan miskin.
Saya tahu beliau, tetapi tidak pernah mengenali Ebit Lew secara peribadi. Tetapi saya mengakui banyak kali juga mendengar dan mengikuti kuliah agama beliau.
Sebagai orang biasa saya tertarik dengan ceramah yang disampaikan: bersahaja, tidak berbelit-belit dan tidak menyanyi dan berlawak.
Tidaklah juga saya taksub membuta tuli terhadap pendakwah bebas itu. Jauh sekali untuk saya mempertikai apa yang dikuliahkan dan apa yang dilakukan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Cuma memerhatikan dari luar dunia dakwah, saya sekadar ingin tahu mengapa Ebit Lew dikecam oleh sesetengah pihak. Begitu marah nampaknya sesetengah pihak sehingga ada yang membuat aduan kepada pihak berkuasa agar pendakwah itu tidak dibenarkan mengunjungi golongan miskin dan memberi bantuan.
Atas aduan awam itu, beliau dihalang menemui mereka yang memerlukan bantuan. Konon Ebit Lew telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan.
Saya tidak dapat menilai sama ada pendakwah bebas itu ikhlas atau tidak dalam membantu keluarga di Kedah itu – almaklumlah siapalah saya untuk menilai.
Tetapi sama ada ikhlas atau sebaliknya saya yakin keluarga malang yang hidup dalam rumah umpama reban ayam itu kini berada dalam keadaan yang jauh lebih selesa.
Tambahan pula setelah bantuan diberikan pendakwah bebas berkenaan, ramai orang kampung telah mengunjungi keluarga itu menghulurkan keperluan termasuk makanan dan pakaian.
Jangan ada syak yang bukan-bukan sekiranya ada orang ingin membantu orang lain. Sama ada dia ikhlas membantu atau hanya untuk menunjuk-nunjuk@riak, bukan urusan kita untuk menghakim. ALLAH lebih mengetahui.
Umum pun tidak layak untuk menilai keikhlasan pendakwah bebas berkenaan. Mudah-mudahan pada bulan al-Mubarak yang penuh keberkatan ini beliau tidak kecewa dan terus menghulurkan bantuan setakat yang beliau mampu.
Rasanya umum sekarang lebih ingin mengetahui perihal sebenar di sebalik penderitaan dan kedaifan keluarga malang berkenaan.
Mengapa keluarga tersebut seolah-olah terbiar dan seperti tidak dipedulikan walaupun telah lebih 10 tahun hidup dalam kesengsaraan dan melarat?
Mungkin pihak berwajib dan institusi zakat telah memberi bantuan tetapi cerita bantuan itu tidak sampai kepada orang ramai. Mungkin juga wakil rakyat telah memberi pertolongan, mungkin pejabat kebajikan telah berusaha membantu.
Harap-harap ada yang tampil menjelaskan, agar semua pihak tidak terus prejudis terhadap Ebit Lew.
* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah - Sinar Harian