Pasangan berusia 41 dan 28 tahun itu ditahan ketika berdua-duaan dalam kereta dipercayai milik lelaki terbabit di kawasan Kampung Tok Gebok, Ajil, jam 2 petang.
Lelaki terbabit dari Kampung Bukit Payung, Marang memberi alasan mahu menghantar wanita berkenaan di sebuah klinik di pekan Ajil, bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Che Daud, berkata alasan yang tidak kukuh itu menyebabkan pasangan terbabit ditahan kerana sengaja mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa tiga bermula Rabu lalu.
“Siasatan mendapati wanita berstatus isteri orang itu tinggal di Kampung Kolam, Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang jaraknya lebih 30 kilometer (km) dari pekan Ajil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam tangkapan berasingan, seorang pemuda berusia 20 tahun dari Cabang Jelkis Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan ditahan kerana melanggar Sekatan Jalan Raya (SJR) PKP di hadapan Balai Polis Hulu Terengganu jam 6.10 petang, hari sama.
“Ketika melalui SJR itu, anggota bertugas mengarahkan lelaki terbabit berhenti sebelum memecut motosikal ditungganginya ke arah pekan Ajil.
“Bagaimanapun dia berjaya ditahan anggota yang bertugas di SJR Ajil ketika melalui kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit memahami kesalahan yang dilakukan selain melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam.
Mohd Adli berkata, tiga individu itu ditahan reman sebelum dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 269 Kanun Kesiksaan (KK) dan Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Dibawah Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.
“Pemuda berusia 20 tahun itu turut dituduh mengikut Seksyen 186 KK kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan tiga individu terbabit adalah kes ingkar PKP pertama di daerah itu, sejak dilaksanakan 18 Mac lalu. - Berita Harian Online