UMNO, PAS Sokong Muhyiddin Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional PRU-15


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, UMNO dan PAS secara prinsip bersetuju untuk terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, kesepakatan itu bukan sahaja dalam kalangan pemimpin PN tetapi termasuk pimpinan Muafakat Nasional (MN) sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

Katanya, perkara itu sudah pun dibincangkan di peringkat jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional, UMNO dan Pas memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

"UMNO dan Pas sudah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional dan kita bersetuju untuk terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Selain itu katanya, mereka turut bersetuju tidak akan ada pertandingan tiga penjuru, sebaliknya hanya dua penjuru bagi menentang pembangkang.

“Kita sudah putuskan, bukan (antara) tiga pemimpin (BN, Pas, Bersatu) tapi semua pemimpin parti-parti dalam Perikatan Nasional termasuk Muafakat Nasional. Dua perkara sahaja iaitu kita bersetuju pertandingan dua penjuru dalam PRU15 akan datang.

“Yang kedua, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri kita.

“Dua penjuru kita hanya lawan pembangkang, kita usaha begitu. Insya-ALLAH, kita yakin akan dapat sekurang-kurangnya majoriti mudah. Berapa kerusi, kita tidak boleh (nak umumkan) lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah secara online di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pengagihan kerusi antara PN belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan secara berperingkat.

Ditanya mengenai kesepakatan antara PN memandangkan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat tidak begitu baik, Hadi menjelaskan, ia hanya melibatkan peringkat bawahan sebaliknya sebarang keputusan diputuskan di peringkat tertinggi.

Mengulas mengenai desas-desus Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka menubuhkan sebuah parti baharu dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia terpulang kepada Dr Mahathir sendiri.

“Itu terpulang kepada dia. Kita negara demokrasi, dia boleh tubuh. Kita tidak boleh halang,” katanya.