Banyak Kampung Terpinggir, Tiada Talian Telefon Dan Internet


NABAWAN: "Di kampung ni terlampau banyak sangat ketinggalan." Itu keluhan seorang anak muda dari Kampung Loboh yang berasa seakan terpinggir biarpun perkampungan itu hanya dua kilometer dari pekan Nabawan.

Menurut Railly Sambilor, 26, sebagai belia dia tidak merasai apa yang dinikmati golongan itu di pekan atau bandar lain yang mempunyai talian telefon dan internet.

Untuk berhubung antara satu sama lain, penduduk di empat buah kampung menggunakan radio mudah alih walkie talkie. "Di kampung ini terlampau banyak ketinggalan terutama internet.

"Ia adalah satu keperluan terutama sekarang untuk memudahkan pelajar-pelajar belajar dengan internet.
"Kampung ini talian telefon pun tidak berapa baik dan menyebabkan kami di empat buah kampung terpaksa menggunakan walkie talkie," katanya.

Empat buah kampung tersebut adalah Kampung Enam, Mangkulasing, Loboh dan Nandilikan.
"Belia di sini sebenarnya mahu sangat macam di luar sana.

"Semua anak-anak muda disini mahu begitu jugak dengan pihak di luar sana yang ada talian internet kuat," katanya.

Sementara itu, menurut Rasat Mangun, 53, masalah talian telefon telah lama wujud di kampung-kampung terbabit sejak 1970-an. "Memang ada empat kampung dan memang kesemuanya tiada talian telefon.

"Sejak kami duduk di sini tahun 1971 sampai la sekarang," katanya. Namun, menurut Rasat baru-baru ini terdapat usaha bagi membangunkan menara telekomunikasi dari syarikat dan pihak berwajib.

"Pernah tahun 2019, mereka pernah datang di kawasan saya untuk mencari line. "Pernah mereka buka pemancar di belakang rumah saya ini dan buat percubaan.

"Mereka cakap kawasan rumah saya memang sesuai dibangunkan menara, itu sahaja," jelasnya.

Rasat berkata penduduk sudah terbiasa dengan keadaan tersebut dan menganggap radio mudah alih tersebut sebagai alat komunikasi yang mudah dan murah.

"Walkie talkie ini boleh ambil jarak lima kilometer jadi terpaksa kami guna untuk berhubung dengan keluarga. "Lagipun ini boleh mengurangkan kos la, bercakap percuma, kalau bateri habis kita caj semula," selorohnya. - Astro Awani