Saman Yang Difailkan Najib Suatu Yang Melampau Dan Menyakitkan Hati - Hakim


Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap AmBank dan bekas Pengurus Perhubungannya Joanna Yu Ging Ping atas dakwaan cuai dalam pengendalian akaun-akaunnya dengan mendedahkan transaksi akaun kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Hakim Datuk Khadijah Idris memutuskan saman yang difailkan oleh Najib itu sebagai suatu yang melampau, menyakitkan hati, remeh-temeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan AmBank, AMMB Holdings Berhad dan Yu selaku defendan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Najib pada 9 Dis tahun lepas.

Khadijah berkata saman Najib terhadap tiga defendan terbabit merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana dibuat sebagai kolateral untuk perbicaraan kes jenayahnya berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

“Tindakan plaintif ini bukan untuk menuntut ganti rugi tetapi sebagai kolateral (jaminan) bagi memperkukuh (pembelaan) plaintif dalam kes SRC, justeru, ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Hakim seterusnya berkata plaintif telah memulakan saman itu selepas Yu memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International dan Najib tidak merungut atau menyaman defendan (Yu dan AmBank) berhubung apa yang dikatakan sebagai manipulasi akaun banknya oleh pihak ketiga ketika perkara itu dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.

Yu merupakan saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes SRC International itu.
Hakim berkata dakwaan plaintif bahawa beliau hanya tahu tentang Yu memanipulasi bank akaunnya semasa perbicaraan tidak boleh diterima.

“Berdasarkan alasan-alasan ini, permohonan defendan untuk membatalkan saman ini dibenarkan,” kata hakim.

Mahkamah memerintahkan Najib membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua entiti AmBank dan RM25,000 kepada Yu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Peguam Yoong Sin Min bertindak bagi Ambank sementara Datuk Gurdial Singh Nijar mewakili Yu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Najib mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir dengan angka 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada Jho Low.

Najib mendakwa defendan telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga, tanpa kebenaran.

Beliau mendakwa defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu telah memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa beliau tidak tahu-menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Low.

Najib mendakwa Low, dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk mengawal akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah diberi ‘isyarat amaran’ (red-flagged) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas perdana menteri itu berkata defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya walaupun akaunnya diberi isyarat amaran.

Najib juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC, selepas pendakwaan mendedahkan perbualan di antara Yu dan pihak ketiga.
Beliau memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.

Pada 28 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kes jenayah membabitkan dana SRC International.- BERNAMA