"Kalau betul.. kalau betul.. apa masalahnya? Ada khianat di situ? Ada rasuah di situ? Ada kesalahan jenayah? Tidak ada."
Itu respons Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila ditanya berkenaan audio tular yang mengaitkan perbualan antara beliau dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, isu audio itu bukan keutamaan pada ketika ini, sebaliknya ia disifatkannya sebagai satu serangan politik terhadapnya.
"Apa isu dia? Mengeluarkan, mengintip satu rakaman, itu satu kesalahan. Siapa yang lakukan - kalau ia benar tulen?
"Kedua, apakah benar kerajaan ini, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi riuh rendah? Tak pernah dengar audio dan video yang lain? Banyak!
"Nampaknya, sekarang ini modal politiknya adalah untuk hebahkan Anwar-Zahid," kata beliau sebagai menjawab soalan Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff pada sesi Program Minda TV: Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).
Menurut Ketua Pembangkang itu, banyak audio dan video lain yang tular sebelum ini, yang secara jelas mempersoal isu prinsip.
"Siapa tak dengar lagi audio Tan Sri Muhyiddin yang kaitkan nama Yang di-Pertuan Agong, kaitkan akan beri jawatan menteri dan GLC kepada UMNO?
"Bermakna, UMNO boleh dibeli. Sebab itu, kadang-kadang kalau kita tengok sesetengah menteri itu melompat sekarang, sebab bukan nak jaga ahli UMNO atau rakyat Melayu yang kononnya diwakili. Itu soal prinsipal.
"Soal laporan (polis) memang belum, sebab saya baru balik dari Port Dickson," katanya menjawab gesaan beberapa pihak supaya beliau segera membuat laporan polis.
"Sekarang kita fikir, sekarang serius, apa isu dia? Isunya, nak alih isu yang tular sekarang, (iaitu) penggantungan Parlimen dan pengabaian dasar dan nasib rakyat.
"Ini yang dia nak alih. Lantas, audio itu menjadi satu keutamaan. Apa masalah dia?" tegasnya. - Astro Awani