PM Umum Bantuan Khas Pada Isi Rumah, Termasuk M40


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion sebagai pemberian Bantuan Khas Covid-19 (BKC) bawah pakej rangsangan baru yang dikenali sebagai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata bahawa ini adalah tambahan daripada peruntukan tambahan sebanyak RM4.9 bilion yang diumumkan pada 31 Mei di mana bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok 29 Jun.

"Semasa pengumuman Pemerkasa Plus yang lepas, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun.

"Bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, sukacita saya umumkan, pemberian Bantuan Khas Covid-19 atau BKC dengan kadar dan kategori seperti berikut:

Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan RM300 pada bulan Disember.

Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan November

Isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 ringgit pada bulan Ogos dan RM300 ringgit pada bulan Disember.

Bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos

Isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti.

"Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang," kata Muhyiddin.