Shahidan Sah Jadi Taruhan Di Arau


Teka-teki berhubung nasib penyandang parlimen Arau, Shahidan Kassim yang tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-15 kali ini, terjawab malam ini.

Ini selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis Mohd Shukri Ramli mengumumkan 'orang lama' Umno Perlis itu akan mempertahankan kerusinya melalui tiket PN.

Pada PRU ke-14 Shahidan memenangi parlimen Arau dengan majoriti 4,856 undi menewaskan calon PH dan PAS.

Shahidan juga pernah menjadi menteri besar Perlis pada 1995 hingga 2008 dan pengerusi BN negeri.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata Shahidan tidak dapat hadir ke majlis pengumuman yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis di Kangar, malam ini.

Menurutnya menteri Wilayah Persekutuan sementara itu kini berada di Terengganu untuk menemui Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"Boleh jadi pengumuman sama juga akan dibuat di satu program pengumuman calon PN di Terengganu," katanya.

Terdahulu BN dilaporkan tidak mencalonkan Shahidan sebaliknya menampilkan 'anak muridnya' sebagai calon muka baru iaitu Rozabil Abd Rahman.

Tindakan itu sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati Shahidan dan Umno bahagian Arau.

Dalam perkembangan sama seorang lagi penyandang parlimen BN di Padang Besar iaitu Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun tidak disenarai sebagai calon PN.

Zahidi sebelum ini tidak dicalonkan semula oleh BN dan menyatakan pendirian untuk kekal bertanding di kerusi tersebut. - Malaysiakini