Lelaki Halang Kereta Wanita, Cakap Lucah Ditahan Polis


PORT DICKSON: Entah kenapa seorang lelaki sengaja cari pasal apabila menghalang kenderaan lain di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Springhill di sini pada Isnin.

Malah lelaki berkenaan turut menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada mangsa seorang wanita berusia 33 tahun dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.

Akibatnya, mangsa dan empat anak terpaksa menunggu sehingga setengah jam sebelum keretanya dapat dikeluarkan dari petak parkir.
 
Video kejadian itu turut tular di media sosial sebelum lelaki berkenaan ditahan polis untuk siasatan lanjut pada Selasa.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku ketika dia mahu mengeluarkan keretanya dari petak parkir, namun dihalang oleh sebuah kereta Perodua Kelisa dari belakang.

"Saya meminta anak saya memberi isyarat kepada pemandu kereta tersebut untuk alihkan kenderaannya tetapi tidak diendahkannya.

"Kemudian saya membunyikan hon tetapi dia tetap buat tak tahu saja dan bercakap dengan telefon serta mengeluarkan kata-kata tak sepatutnya kepada saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Tidak sanggup lagi menunggu, dia memberitahu lelaki tersebut mahu memanggil polis, namun tetap tidak diendahkan malah mencabarnya berbuat demikian.

Malah katanya, orang awam yang melihat kejadian itu turut meminta lelaki tersebut mengalihkan kenderaannya tetapi turut tidak dilayan.

"Akhirnya saya terpaksa keluarkan kereta saya sedikit demi sedikit dengan dibantu orang awam.
"Saya telah membuat laporan polis dan sehingga hari ini saya dan anak-anak masih trauma dengan apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis telah menahan lelaki yang berusia 38 tahun itu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana telah mengaibkan kehormatan serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak awam.

"Hasil saringan awal urin terhadap lelaki itu adalah negatif dan tiada rekod kesalahan lampau," katanya.
Selain itu katanya, orang awam dinasihatkan tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menviralkan video tersebut serta memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Ujarnya, perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Sinar Harian