Skip to main content

"Ini Dah Kali Ke-10 Kalah Dan Saya Dah Kena Bantai Dengan Penyokong. Saya Cakap Tak Apa Lah Cuba Tahan Gaji, Ingatkan Menang Tapi Lagi Kalah



PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengakui sudah kehilangan kata selepas pasukan miliknya itu terus mengalami kekalahan dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut Zamsaham, beliau sebagai pemilik sendiri malu untuk melihat perlawanan melibatkan Kelantan FC selain turut dimarahi oleh penyokong pasukan itu susulan prestasi kurang memuaskan.

Malah, beliau turut menjelaskan tidak berniat untuk menahan gaji pemain sebaliknya ia sebagai satu cara mendidik pemain untuk memberikan aksi yang lebih baik.
 
"Bukan niat saya nak tahan. Saya cuma kata saya dah tak tahu nak marah apa kat pemain. Pemain main betul-betul saya bagi balik gaji.

"Ini dah kali ke-10 kalah dan saya dah kena bantai dengan penyokong. Saya cakap tak apa lah cuba tahan gaji, ingatkan menang tapi lagi kalah.

"Saya jumpa dengan pemain baru-baru ini saya minta lawan Kelantan United menang atau serilah. Tapi kalau kalah juga, saya tak boleh buat apa saya janji bayar juga 50 peratus gaji pemain.

"Tapi, kita dah kalah banyak kali sampaikan saya malu nak tengok perlawanan. Lawan Kelantan United baru-baru ini saya tengok 30 minit sahaja," katanya dalam majlis berjumpa penyokong di Zambuger Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.

Masalah melibatkan pasukan Kelantan FC menjadi tumpuan selepas Zamsaham didakwa tidak membayar gaji pemain untuk bulan April.

Zamsaham mengakui menahan gaji pemain dengan harapan pasukan itu dapat memberikan kemenangan dalam saingan Liga Super.

Kelantan FC ketika ini berada di kedudukan terbawah liga dengan hanya satu kemenangan, satu seri dan 11 kekalahan.

Dalam pada itu, dia juga seolah-olah memberikan bayangan tidak akan melepaskan kelab tersebut selain berjanji akan cuba menambah baik pasukan pada pusingan kedua saingan Liga Super.

"Pada saya latihan itu sangat penting dan kita bermasalah dari sudut tersebut. Kalau latihan kita bagus, maka kita boleh buat yang terbaik.

"Pemain yang kita ada juga berkualiti, namun mungkin tiada rezeki lagi dan kita kalah. Insya-ALLAH kita akan susun semula dan ambil pemain yang lebih baik untuk separuh kedua liga ini," katanya. - Sinar Harian