Selepas Nabila Huda, kini Sharifah Sakinah Minta Nad Zainal Berpijak Di Bumi Nyata


Selepas Nabila Huda, kini pelakon Sharifah Sakinah pula muncul 'menghangatkan suasana' apabila dia menitipkan pesan kepada Nad Zainal agar “berpijak di bumi nyata” berhubung kemelut yang berlaku antara mereka.

Melalui Instagram Sharifah Sakinah meluahkan perasaannya yang membayangkan memang ada perasaan kesal di lubuk hati terhadap persahabatan mereka yang tiba-tiba terlerai.

“Dah boleh padam kot post ni. Saya jumpa awak di alam lain (kerana) di situ tiada radar.

“Jujur dari hati, berpijaklah di bumi yang nyata.

“Fikiran narsistik, kepura-puraan dan penafian akan tertulis menjadi takdirmu,” tulisnya.

Nad, 33, sewaktu ditemu bual sebuah portal hiburan semalam berkata, dia enggan mengambil pusing berhubung cakap-cakap belakang mengenai dirinya.

Sebaliknya, pelakon Soulmate Hingga Jannah itu berkata, dia ingin memfokuskan pada kehidupan peribadi saja.

Spekulasi bermasam muka mulai timbul selepas Nad kembali pulih daripada masalah pendarahan paru-paru dialaminya. Dia dimasukkan ke hospital pada Nov tahun lalu.

Susulan keadaannya tahap kesihatannya itu, rakan artis dan peminat melancarkan Tabung Kecemasan Nad Zainal bagi membantu keluarganya menampung kos rawatan di hospital.

Tidak berapa lama kemudian, Nad mendirikan rumah tangga dengan Ungku Ismail pada 23 Januari lalu.

Nabila Huda semalam mengeluarkan kenyataan seolah-olah dia tidak mengenali Nad selain mendakwa akaun Instagram miliknya telah disekat pelakon terbabit.

“Maaf tanya. Siapa ini? Dia pelakon ke?” katanya. - Malaysia Kini