Ibarat Melepaskan Anjing Tersepit!


SEPANG – Ibarat melepaskan anjing tersepit! Itu situasi didakwa Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) apabila kerja kemanusiaan pihaknya dinafikan selepas berjaya membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos.

Ia bermula apabila ketujuh-tujuh mereka dibawa pulang dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka dikatakan menafikan segala bantuan daripada NGO berkenaan sehingga berlaku sedikit ketegangan dengan aktivis MHO dengan salah seorang daripada mangsa.

Seorang aktivisnya, Azirul Syafiq Sazali berkata, pihaknya kecewa dengan ketujuh-tujuh mangsa yang bertindak meninggalkan pihaknya tanpa sebarang makluman.

“Mereka membuat aduan kepada MHO bahkan (mereka) kata pihak kedutaan yang tolong mereka segala-galanya, pihak kedutaan pun tidak tahu mereka jadi mangsa.

“Kita (MHO) yang bawa senarai ketujuh-tujuh mangsa hantar ke kedutaan, kita bayar kos penginapan hotel mereka malah mereka pun tidak ada kenalan di kedutaan melainkan saya yang memberikan kepada mereka,” kata Azirul ketika menyambut kesemua mangsa di KLIA di sini lewat malam tadi.

Wakil media bagaimanapun tidak dapat menemubual mangsa pemerdagangan manusia itu kerana mereka bertindak lari daripada wartawan.

Semuanya bermula apabila pihak MHO menerima aduan daripada pengadu yang berada di negara itu bahawa mereka telah ditahan dan dipaksa bekerja sebagai scammer di negara berkenaan, jelas Azirul.

“Kita menerima aduan dan kita pergi ke Laos malah ada saksi yang kami bawa malah mereka ditempatkan di hotel yang dibayar oleh MHO untuk membawa keluar mereka,” katanya lagi.

MHO sebelum ini sering melakukan misi menyelamat mangsa pemerdagangan manusia warga Malaysia di Laos, Myanmar dan juga Vietnam.

Turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN Malaysia) En Zakir Halim (Zack).

Dalam pada itu, Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket penipuan pekerjaan luar negara ini sudah mengubah modus operandi mereka daripada menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan kepada menawarkan perkhidmatan percutian dan love scam.

Katanya, perubahan itu dibuat ekoran pemindahan operasi sindiket tersebut dari Myanmar ke negara Laos.

“Mereka (sindiket) sudah tidak lagi mengumpan tawaran kerja tapi mula mengumpan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memperdayakan mangsa menggunakan watak wanita cantik dan mempelawa mangsa ke Bangkok dan ditipu dan dibawa ke Laos.

“Malah mereka menggunakan sosial media mempelawa anak-anak muda untuk pergi bercuti di Phuket, Krabi dan diperdaya dan dibawa masuk ke Laos untuk diperdagangkan,” katanya dalam sidang media sama. – MalaysiaGazette