Penipuan itu berlaku dalam urus niaga pembelian saham sebuah syarikat automotif bernilai RM6 juta antara pemilik syarikat terbabit, James Teo, 48, dengan ‘Datuk’ berkenaan di sekitar Selangor.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini James hanya menerima 40 peratus iaitu sebanyak RM2.5 juta, namun baki tersebut gagal dilunaskan oleh Datuk berkenaan sejak 2022.
Katanya, James telah membuat laporan polis namun kes tersebut diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pegawai penyiasat tanpa diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“MHO mendapati bahawa Datuk ini telah melakukan banyak penipuan melibatkan jutaan ringgit namun kami hanya mendapat satu laporan berkenaan darinya.
“MHO melihat wujudnya satu trend penipuan melibatkan suatu perjanjian dan perkara ini seolah sudah menjadi amalan dalam dunia perniagaan sejak sekian lama,” katanya ketika sidang akhbar di ibukota, di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan Akta Kontrak 1950 Seksyen 17c, sesuatu perjanjian terbatal sekiranya terdapat unsur penipuan kerana berniat tidak mahu memenuhi syarat perjanjian.
Dalam pada itu, mangsa, James Teo berkata, dia telah menyerahkan surat kepada Jabatan Peguam Negara agar siasatan dijalankan.
“Saya terkejut dan kecewa pihak polis menganggap kes ini sebagai NFA.
“Saya ingin menuntut keadilan kerana saya rugi jumlah wang yang besar sejak tahun 2022,” katanya.
Turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN Malaysia) En Zakir Halim (Zack).
Sehubungan itu, MHO menaruh harapan pihak berkenaan menyiasat semula kes seperti itu agar dapat diberikan nafas untuk tindakan kriminal bagi mengekang perbuatan berlindung di sebalik nama sesebuah perjanjian daripada tindakan kriminal. – UTUSAN