Tertuduh berusia 63 tahun sebelum itu mengaku bersalah ketika dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemandu lori, didakwa merogol anak angkatnya berusia 13 tahun di rumahnya di Batu Pahat, jam 12 tengah malam, 19 Julai lalu.
Bapa kepada lima anak hasil dua perkahwinan itu, didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat mangsa pada jam 2.50 petang, 25 Julai lalu mengatakan dia dirogol bapa angkat iaitu tertuduh sejak 2021.
Dalam laporan itu, mangsa memberitahu kejadian itu berlaku ketika dia sedang baring dalam bilik sebelum didatangi tertuduh.
Tertuduh memaksa mangsa menuruti kehendaknya sebelum melakukan perbuatan terkutuk. Bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan kemudiannya berjaya menahan tertuduh pada 26 Julai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar mempertimbangkan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan oleh tertuduh.
"Dalam kes ini, ia melibatkan hubungan bapa dengan anak angkat dengan tertuduh sepatutnya membimbing dan melindunginya bukan mengambil kesempatan," katanya.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh ditahan serta empat sebatan.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman penjara. - Berita Harian Online