Demikian ciapan ringkas pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, menjelang hari penentu prosiding rayuan kes dihadapi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Rayuan Putrajaya esok.
Bella, 31, atau nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq pasangan yang kini 'trending' di media sosial selepas menjadi model baju raya bagi sebuah jenama fesyen.
Bella turut memuat naik fotonya bersama Syed Saddiq melalui ciapan di platform X.
Terdahulu,melalui satu video berdurasi 37 saat yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq meminta semua pihak mendoakan kebenaran dan keadilan buat dirinya menjelang hari penentu esok.
Beliau turut menegaskan tidak ada senjata yang lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini.
Syed Saddiq, 32, bakal mengetahui nasibnya esok apabila Mahkamah Rayuan dijadualkan membuat keputusan terhadap rayuan kes dihadapinya berkaitan dana ARMADA.
Sebelum ini, Syed Saddiq melalui satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan rayuan berkenaan. - Berita Harian Online