Koleksi senjata api 'Tuanku Zulkarnain' dirampas



SHAH ALAM - Hobi seorang pesara mengumpul senjata api dan tiruan sebagai koleksi mengundang padah apabila diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Serendah, Isnin lalu.

Suspek yang dipercayai menggunakan gelaran palsu kerabat diraja itu mendakwa menyimpan senjata berkenaan sebagai koleksi peribadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Beliau berkata, pihaknya mendapati lelaki berusia 69 tahun itu menyimpan tiga senjata api, beberapa laras senjata airsoft, peluru hidup dan pelbagai aksesori berkaitan.


"Antara yang dirampas termasuk sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson, selaras senapang CAL 22/5.5M, dan sepucuk pistol CZ 75.

"Turut ditemui ialah beberapa laras senjata menyerupai model AK47 dan M4 yang dipercayai merupakan senjata tiruan serta sepucuk pistol menyerupai Glock P38 Auto," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Katanya, serbuan turut menemui sejumlah besar peluru pelbagai jenis dan kaliber.

"Antaranya termasuk empat magazine bersama 186 peluru.

"Beberapa peralatan ditemui seperti sarung senjata, beg taktikal, silinder gas RAP4 dan aksesori berkaitan turut dirampas dalam operasi ini," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan sama ada senjata-senjata ini pernah digunakan dalam sebarang kejadian jenayah.

"Suspek mendakwa senjata ini disimpan sebagai koleksi peribadi dan suspek mempunyai minat mendalam terhadap senjata api sejak 10 hingga 20 tahun lalu.

"Semua senjata disimpan di dalam peti keselamatan dan almari khas di rumahnya," katanya.

Tambahnya, polis juga sedang menyiasat individu yang menyerahkan senjata tersebut kepada suspek kerana pemberian ini juga merupakan satu kesalahan.

"Siasatan mendapati suspek memperoleh senjata itu daripada beberapa kenalan rapat dan suspek juga tidak pernah memiliki lesen serta tidak pernah memohon secara rasmi untuk mendapatkan lesen senjata api.

"Setakat ini lima individu telah dirakam keterangan dan beberapa lagi akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya.

Hussein berkata, polis juga mendapati suspek menggunakan gelaran 'Tuanku Zulkarnain' dan nama tersebut turut tertera pada sarung senjata yang dirampas.

"Polis turut merampas dua buah kenderaan milik suspek, iaitu BMW 735i dan Mitsubishi Triton yang kedua-duanya menggunakan lambang jata kerabat diraja.

"Semakan dibuat dengan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) mengesahkan bahawa tiada sebarang pengiktirafan, anugerah kebesaran mahupun gelaran rasmi yang pernah dikurniakan kepada suspek oleh mana-mana institusi diraja," katanya.

Ujarnya, suspek yang didapati tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau itu direman selama enam hari bermula 22 April hingga 27 April bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(a), Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 36, Akta Senjata 1960; dan Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama 1963 (Pindaan 2016)," katanya.