Lima sekeluarga didakwa culik remaja perempuan, tuntut tebusan RM2 juta



SEREMBAN - Lima sekeluarga termasuk pasangan suami isteri didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Tertuduh, D Sasveena, 31; T Boharaj, 32; Farhin Muhamad Ariffin, 23; dan dua beradik P K Koshenn Kumar, 21, serta P K Siveeshinaa, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat bersama menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikannya bagi tujuan menuntut wang tebusan RM2 juta.

Kesalahan itu dilakukan pada di hadapan sebuah salun rambut di Jalan S2 B10, Uptown Avenue Seremban 2 kira-kira jam 5.45 petang pada 10 April lalu.

Semua tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum 30 tahun dan sebatan.

Sementara itu, peguam, T Harpal Singh memohon tarikh singkat iaitu dua minggu untuk memfailkan hujahan mitigasi rayuan jaminan secara bertulis.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan dan sebutan semula kes pada 14 Mei ini.

Sebelum ini media melaporkan, penjenayah terbabit kes penculikan remaja berkenaan menyembunyikan mangsa dengan memasukkannya ke dalam beg pakaian.

Tindakan itu bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang awam ketika memindahkan mangsa daripada kenderaan milik suspek ke sebuah rumah di lokasi mangsa disorokkan.

Pada 14 April, polis menembak mati seorang lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor dipercayai terlibat dengan kes penculikan itu.